Friday, October 30, 2009

first year architectural installation

















































Sunday, October 11, 2009

Reaksi Bara Hati Bahang Jiwa - Konflik Ekspressi dalam ‘AMOK’ .

nasir Baharuddin
Pameran lukisan ‘Bara Hati Bahang Jiwa’ memberi tanda soal percanggahan konsep antara penyatuan ekspressionisma Melayu dengan Barat. Konflik ini mencetuskan suatu pertentangan pengaliran transformasi pemikiran abstrak ekspressionisma dengan aksi ‘amok’ yang dikaitkan dengan kondisi orang melayu, sebagai aksi saluran kenyataan perasaan. Persoalannya, adakah kenyataan perasaan itu berlaku terus dari pengalaman intuitif atau suatu tindakan diskripsi imej sebagai bentuk ekspressi. Kalau kita berhasrat untuk mengatur dari deskripsi imej, bermakna penjelasan kita mungkin kepada sifat lakaran, tetapi kalau berlaku sebaliknya, bagaimana pula pengalaman intuitif menjadi sandaran. Peranan kedua aspek ini, agak berbeda, bermakna kalau dilihat daripada sudut lakaran ia lebih kepada ‘acara’ dan kalau dari segi intuitif semangatnya agak intrinsik.

Namun dari rentetan penerangan, kita seolah tidak berpunca. Penjelasan dan interpretasi tidak mendorong kepada makna yang tepat sebagai suatu dialog. Adakah ‘amok’ itu suatu pemberontakan atau ‘amok’ sebagai sandaran kepada ekspressi? Mengamok untuk memberontak lebih bersifat fizikal, kalau ‘amok’ sebagai sandaran ekspressi ia lahir cuma dari sudut deskripsi. Bermakna penceritaan ‘amok’ sekadar sebagai suatu tampalan untuk dikaitkan dengan pengalaman ekspressi. Tindakan ‘amok’ membawa persoalan fenomena bawah sedar yang akan melenyapkan perasaan pengalaman ekspressi.

Taxonomi abstrak ekspressionisma yang dikatakan lahir dari kecenderungan ‘pengambaran pengalaman kerohanian’ dan perlambangan emosi subjektif kepada penerapan mengamok, menimbulkan kemusykilan terutama dari unsur tertibnya. Walaupun ekspressionisma barat menekankan emosi subjektif namun kesedarannya berlaku pada tahap pengamatan objektif yang lebih terencana. Perencanaan pengamatan objektif bertindak sebagai suatu landasan dalam mengawal kuasa ekspressi, lantas ekspressi tersebut dilaksanakan sebagai sistem untuk mengutarakan subjek ekspressi mengikut pengambaran pengalaman intuitif.

Malah penyuaraan abstrak ekspressionisma yang cenderung kepada pengalaman kerohanian atau perlambangan emosi subjektif menimbulkan persoalan dalam kontek interpretasi. Bagaimana transformasi pengalaman emosi subjektif itu berlaku sebagai suatu ‘acara’ yang berkaitan dengan ‘amok’? Adakah ia hanya tercetus dari rasa semangat atau luahan perasaan. Kalau semangat menjadi ukuran, bagaimana pula pertimbangan akal? Oleh itu, tidakkah apabila kita bercatan, ‘mengamok’ itu hanya ‘cara’. Cara kita berekspressi! Jadi bagaimana tentang pengalaman intuitifnya?

Kurator pameran Niranjan Rajah menjelaskan “bahawa dalam penglibatan ini, artis Malaysia menyumbang kepada pembentukan suatu vitalisme ampuh (semangat) dan unsur emosi ganas (amok) yang wujud dalam jiwa kebangsaan kita, lantaran itu membuahkan ekspressionisma peribumi”. Kenyataan ini, seolah menekankan unsur kewujudan jiwa kebangsaan lahir dari semangat dan emosi ganas sebagai suatu sumbangan, lantas terbitnya unsur ini membawa kepada suatu aliran, iaitu ekspressionisma peribumi. Kalau begini keadaannya, ia merupakan satu persoalan besar dalam kontek senilukis Malaysia, kerana ia membawa kepada ketertiban rasional yang kabur terutama dalam pembentukan jiwa kebangsaan kita.

Jiwa kebangsaan berpaksikan adab dan nilai falsafah dalam mencorak sistem budaya kehidupan terhadap kemurniaan. Jiwa yang murni, adalah jiwa yang luhur serta berlatarbelakangkan kefahaman tentang salasilah budaya sebagai suatu kepercayaan, dan kepercayaan inilah yang membina jiwa kebangsaan tersebut. Semangat kepada jiwa kebangsaan membawa kepada cara pemikiran untuk hidup dalam sistem budaya itu sendiri. Ia sesuatu yang tidak terungkap. Oleh itu, bagaimana mungkin emosi ganas (amok) dapat dikatakan sebagai suatu sumbangan dalam membina jiwa kebangsaan. Lebih lagi apabila kita telah bercarakan gila dan amok sebagai suatu ekspressi!

Terdapat suatu penilaian yang berlaku dengan proses perencanaan ekspressi emosi yang dilakukan oleh Jackson Pollock, William DeKooning, Franz Kline, M.Rothko, dimana kita boleh memerhatikan daripada reaksi petikan R.G.Collingwood ‘that true expression was not a simple matter of having an emotion and showing it, because expression meant a coming to self awareness, where the implication of this line of reasoning is that art lies in the mind rather in the object’ . kalau begini sifatnya, adakah dengan aksi yang dilakukan oleh Ahmad Shukri yang “melakar seperti orang gila dan seolah dirinya telah dirasuk” (rujuk katalog pameran) boleh dikatakan sebagai suatu subjek dalam pernyataan ekspressi. Kalau benar, bagaimanakah sifat ekspressi beliau yang dikatakan sebagai orang gila dan dirasuk itu sebagai suatu tertib dalam penyuaraan ekspressi, dan kaitannya dengan ‘coming to self awareness’.
Situasi Shukri mengecat seperti orang gila membawa persoalan, dimana dia akan beraksi pada tahap separuh sedar tentang apa yang dilakukannya. Sifat ‘seperti orang gila’ bermakna separuh naluri saraf kita telah tergolong kepada permasalahan gila, Jadi bagaimana pula kaitan dengan teori Collingwood tadi bahawa ‘art lies in the mind rather in the object’ dengan situasi yang dialami oleh Shukri? Kalau Ahmad Shukri melukis macam orang gila bermakna situasi fikirannya mungkin tak stabil. Dalam keadaan ini bagaimanakah beliau menyarankan ekspressinya sebagai kenyataan ekspressionis. Justeru, kesenian ekspressi memperlihatkan lambang emosi subjektif secara sedar dengan perancangan awal terhadap aksi ekspressi. Perancangan memerlukan suatu pengaturan minda untuk mengatur naluri pergerakan kepada pernyataan imej sebagai suatu tanda untuk proses ekspressi. Penyuaraan aku berekspressi, adalah suatu hasrat dari aturan tentang rasa kesedaran diri melalui pengalaman jiwa sebagai suatu pembentukkan. Kenyataan pengalaman berekspressi, adalah kenyataan daripada kesedaran dalam melakukan sesuatu tindakan melalui pengalaman yang akan dirasai sebelum dan selepasnya.

Kenyataan pengalaman yang dialami, adalah semangat dalam menunjulkan makna ekspressi. Namun kenyatan interpretasi semangat dalam ekspressi, dan kaitan antara amok dan adab, suatu kompilasi persoalan yang amat mengelirukan! Bagaimana aksi amok yang didorong dengan persoalan ‘rasuk’ dikaitkan dengan ‘adab’? Adakah semasa kita mengamuk kita lakukan secara beradab? Interpretasi ‘amok’ saya rasa ia lebih kepada aksi tanpa sedar yang mana selalunya dipengaruhi oleh unsur lain sebagai bahan perantaraan dalam usaha mengamok. Bahan perantaraan ini selalunya dikaitkan dengan penyakit, seperti gila, sawan, panas baran, dirasuk oleh jin dan sesuatu yang lebih mistik atau apa-apa yang bersangkut paut dengan penyakit orang melayu. Pertanyaan juga timbul adakah terminologi ‘amok’ sebagaimana yang disarankan adalah khas untuk orang melayu?, kerana dalam pameran ini ada juga ras lain yang terlibat, adakah mereka meluahkan perasaan mereka dengan cara mengamok seperti orang melayu juga? Atau adakah kita hendak katakan bahawa mereka ini adalah juga berekspressionisma peribumi atau Malaysia yang berlandaskan amok tadi? Iaitu adanya bentuk ekspressi yang dinamakan ekspressi melayu, ekspressi cina dan ekspressi india. Kalau benar kenapa mereka perlu turut serta ‘mengamok’ dalam berekspressi peribumi?

‘Ekspresionisma peribumi’ membawa dua aliran falsafah yang amat berbeza, ekspresionisma lahir dari sudut saikologi dan pengalaman ‘subconscious’, manakala peribumi atas dasar hak.(atau setempat), dimana hak ini berlandaskan kepercayaan falsafah yang terkandung dalam jiwa kehidupan tempat itu sendiri. Bagaimana peranan hak itu dikaitkan dengan konsep abstrak ekspressionisma, dimana konsep tersebut berlatarbelakangkan pengalaman intuitif yang berarahkan physiologikal saikologi Ini membawa pertentangan terminologi bahasa yang amat ketara.

Persoalan juga timbul, bahawa adakah kita perlu ‘mengamok’ untuk berekspressi? Atau adakah orang gila juga boleh melemparkan catnya keatas catan dan kemudian boleh dikatakan sebagai suatu objek seni serta di panggil ekspressi? Jika sekiranya ada, perlukah kita melukis macam orang gila, atau lebih baik kita menyuruh orang gila saja untuk melukis, kerana mereka akan lebih faham tentang rasa naluri gilanya, daripada kita buat-buat jadi gila. Tinjauan perlu dilakukan, kerana sifat neurosis pelukis masih dapat dikawal, walaupun waktu itu pemikirannya seolah jadi gila. Kewarasan fikirannya perlu diambil kira untuk penentuan daripada mana saluran pernyataan ekspressinya timbul. Lantaran, kalau gila menjadi ukuran bagaimana perbezaan catan Shukri dengan menyuruh orang gila membuat catan? Adakah waktu itu orang gila perlu mengamuk juga? Sedangkan dia telah dianggap gila.

Banyak persoalan yang harus diambil kira jika sekiranya ingin dikatakan bahawa orang melayu berekspressi dengan cara mengamok! Terutama melalui catan. Disiplin catan mempunyai kadar lingkungan deskripsi ekspressi yang terhad, berbanding dengan aksi mengamok. Mengamok adalah suatu ledakan tindakan fizikal yang biasanya susah dikawal. Persoalannya, bagaimana tindakan fizikal yang susah dikawal itu, berhadapan dengan suatu kegiatan disiplin bercatan, dimana sifatnya agak terhad? Terhadnya dalam bercatan membawa kepada terhadnya ekspressi kita dalam melakukan tindakan aksi untuk mengamok terutama bagaimana kita mengawal tindakan tersebut apabila kita sedang mengamok. Konsep hilang ingatan ini, bertentangan dengan ‘coming to self awareness’ yang secara keseluruhannya kembali kepada kesedaran tentang rasa diri dalam kegiatan tindakan yang sedar.

Dalam kontek mengamok, kita selalunya akan bertindak secara ‘brutal’, aksi kita akan jadi lebih ganas umpamanya, apabila kita berhadapan dengan catan, kita mungkin akan bertindak seperti melempar cat, memijak-mijak catan, mengoyak malah membakarnya. Pada waktu ini, kewarasan telah hilang dan ini bertentangan dengan tertib ekspressionisma sendiri, seperti Dekooning, atau Rothko meluahkan ekspressi atas dasar emosi subjektif yang didorong dengan unsur ‘coming to self awareness’ berdasarkan kepada ‘art lies in the mind rather in the object’. Dimana kalau kita dapat perhatikan catan Rothko atau deKooning, beliau telah mengawal setiap elemen permukaan, dimana penggunaan alat atau bahannya diolah secara teratur serta berkeupayaan untuk menerokai kesan yang tidak diduga sebagai suatu bentuk ‘pengalaman’. Kepentingan pengalaman ini akan menjadi suatu subjek dalam melahirkan konsep ekspressi serta pengalaman ini juga akan diucapkan sebagai implikasi daripada proses pemikiran yang berlandaskan ekspressi. Dengan lain perkataan, mereka lebih menyuarakan pengalaman ekspressi daripada deskripsi imej sebagai bentuk ekspressi.

Jadi apakah kaitan dengan ‘amok’? Dimana kalau ‘amok’ menjadi subjeknya, bermakna pelukis hanya sekadar melukis secara beremosi dan bagaimana kita hendak menunjukkan emosi tersebut sebagai suatu bentuk pernyataan. Atau mungkin tindakan pelukis hanya boleh dikatakan sebagai suatu ‘cara’ untuk melepaskan ‘rasa geram’. Lantaran ia bertindak untuk melakukan pemberontakan atau protes? Hasilnya kita jadi ‘mengamok’? Bermakna kita mengamok untuk melakukan pemberontakan sebagai protes, kalau begitu sifatnya kita mungkin berada pada tahap ‘melepaskan emosi’. Bagaimana pula aksi penuntun terhadap apa yang dilihatnya? Adakah tujuannya, apabila mereka melihat catan tersebut mereka akan lari atau merasa takut, resah atau mengalami gangguan neorisis yang sama seperti pelukis yang melukis? Dalam kontek ini kita ingin membawa penuntun kearah mana?

Walaubagaimanapun mengikut apa yang ingin disarankan oleh pelukis, mereka mempunyai saranan yang pelbagai, rata-rata ingin menyuarakan pelbagai polemik tentang rasa kekacauan diri dan persekitan. Kalau benar apa yang mereka katakan, tidakkah ini merupakan persoalan isu dan bukan persoalan ekspressi, atau kita mengunakan isu untuk berekspressi. Persoalan isu lazimnya ia membawa kepada persoalan makro dalam penjelasan sejagat. Manakala ekspressi adalah soal intipati dalaman diri yang menjuruskan tentang pernyataan jiwa secara saikologi. Tidakkah kombinasi ini sesuatu yang mengelirukan? Penelitian harus diberikan, kerana persoalan ekspressi bersangkut paut dengan perlambangan emosi subjektif dan pengambaran pengalaman kerohanian sebagaimana apa yang telah disebut pada awal tadi. Dimana interpretasinya mungkin berlegar tentang penglibatan ‘actual physical action’ daripada saduran pengalaman yang mereka pertuntonkan, Perbincangan ini mungkin akan lebih tepat dalam kontek ekspressi. Manakala kalau ia sebagai suatu isu, mengapa kita tidak berbicara tentang isu?. Apakah peranan ‘bara hati bahang jiwa’ itu? Adakah ia sebagai sebutan atau ulasan?

Lantaran ia agak pelik apabila kita ingin kaitkan ekspressi ini dengan kontek aliran ekspressionisma kontemporari Malaysia dimana secara tidak sedar kita telah membatasi corak aliran seni di Malaysia kepada satu format yang tertentu, tidakkah kesan ini membatasi kepada perubahan?. Tercetusnya pamiran ini, saya lihat ia sekadar imbauan sejarah seni abstrak expressionisma Malaysia pada peringkat awalnya, tetapi kali ini dengan nama pelukis yang baru. Soalannya, adakah ini perlu, kerana seni ekspressionis telah berlaku dalam sejarah sebagai tapak awal keujudan seni lukis moden negara ini. Imbauan ini perlu diperhatikan, kerana adakah ia sebagai satu aktiviti kenangan atau perubahan? Kalau disandarkan sebagai suatu perubahan, adakah perlu Abstrak Ekspressionism dalam kontek hari ini? Bagaimana kondisi dan refleksi kita dengan isu yang lebih tercabar?




Artikel ini ditulis hasil dari reaksi tulisan Saudara Niranjan Rajah dalam catalog Pameran Bara Hati Bahang Jiwa di Balai Senilukis Negara. Tahun 2001.