Sunday, February 6, 2011

Ruang, Subjektiviti dan Evolusi Pengkaryaan

Nasir Baharuddin

Pada saat ini, lapangan kesenian mengorak beberapa ruang jaringan yang bukan berpusat tetapi bergerak dalam ruang cipta yang menembusi pelbagai arah. Ertinya seni berlaku dari keberhasilan konteksnya samada secara antroposentrik atau diaspora pemikiran secara mengalir. Pengerak seni mulai membuka tirai jaringan cipta kepada beberapa olahan yang bukan lagi statik malah ia mulai mengacau sifat penciptaan kepada bahasa jaringan yang bukan terduga. Sifat ‘subconscious’ yang bukan dirancang ini, menjadikan sebuah kenyataan permasalahan bahasa dan bentuk yang mungkin menarik untuk dilihat dan dibina. Hasil seni bukan lagi ditinjau dari ‘estatika’ yang bersifat ‘sesuatu yang indah’ tetapi ia mulai berpaling untuk menduga bagaimana ruang cipta dijalin sebagai aturan bahasa dan persoalan asas kepada bahasa tersebut sebagai pembinaan objek baru.
Oleh itu, penciptaan terletak kepada aturan bahasa objek, di mana objek adalah ungkapan untuk memberi petanda kepada wujudnya nilai pengetahuan yang mungkin dikatakan ‘sesuatu yang indah, menarik dan teruja’. Nilai pengetahuan dalam perencanaan bahasa objek menjadi penilaian bagaimana aturan estetika diusul dalam membentuk rasa keindahan kerana sifat objek bukan lagi direka atas rancangan menyusun atau melorek gambar tapi kefahaman apa itu dikatakan gambar.

Gambar berperanan sebagai agen, oleh itu apa yang perlu dilakukan adalah melihat apakah subjek yang sepatutnya ada dari agen tersebut.

Jaringan-jaringan bahasa yang dirungkai membina kepada peta-peta komunikatif dari refleksi pencipta mengenai hasrat akan fikirannya untuk mencipta. Perencanaan kepada mencipta bukan sekadar proses gerak dari objek ‘a’ kepada ‘b’ malah berteras daripada ‘generic communicative’ dari apakah rencana bahasa sebagai aturan visualnya. Rencana bahasa mulai difahami sebagai suatu kefahaman membuat gambar melalui peta akal untuk melakar apa yang dilihat dan dibaca. Oleh itu bahasa persepsi bukan lagi dikongkong oleh cantiknya gambar yang dibuat tetapi ‘kecantikan’ itu dibina dari ruang cipta yang dibina oleh bahasa akal dalam menyusun bagaimana setiap ‘possibility’ objek dilihat daripada pengetahuan yang ada.

Sifat objek sememangnya agak sukar untuk ditutur atau juga difahami. Namun kesukaran tersebut dapat diinterpretasi jika objek cipta membuka ruang untuk diterokai dan ingin bertarung dalam mencari dan membuka pilihan-pilihan dalam memperlebarkan jaringan. Sifat objek berlegar bukan sekadar mainan persepsi yang bertindak sekadar ‘kata rasa’ tetapi telah mulai menjelajah kepada suatu ruang cipta daerah pemikiran dan iklim budaya bahasa yang wujud, terutamanya dari data pengalaman dan pengetahuan. Objek sekadar mainan-mainan ilusi yang bersifat kabur, ia hanya rangsangan untuk mata kepada perencanaan akal dalam menyatakan posisi apakah pengetahuannya yang dapat diterima akal.
Ia bukan lagi ‘naratif objek’ yang direncanakan sebagai konsep, bermaksud pencipta sering menganggap ‘konsep yang difahami terbina dari sumber naratif’, maka tidak hairan pencipta bertindak ‘memberi kepada suatu jawapan mengenai ‘apa’ yang dibina, dengan kata lain, bersifat illustratif. Ia perlu bertindak kepada ‘apa ruang’ yang sepatutnya diisi. Pengisian ruang inilah yang perlu direnungi terutama apakah potensi yang ada dalam membina cadangan peta minda sebagai suara kenyataan dan bukan kepada pemberi jawapan…yang sering difahami sebagai ‘konsep’.

Konsep naratif sepatutnya bertindak sebagai bahan kepada ‘generic communicative’ untuk meninjau apakah peluang-peluang baru yang mungkin boleh digerakkan. Ini lebih kepada menemukan apakah kemungkinan yang difikirkan, lantas dapat menjangkau kepada proses ruang dialetikal secara konstruktif. Peta minda pencipta sudah sepatutnya mulai beralih kepada persoalan kenapa ianya begitu? Atau mengapa ia menjadi begitu? Sebagai suatu kenyataan sifat kewujudan dan signifikannya. Bukan lagi sekadar bertindak ‘untuk memberi tahu’ atau dengan kata lain, pencipta sebagai ‘penyampai berita akan wujudnya objek’, tetapi ‘sifat naratifnya sesuatu kenyataan’ adalah lebih baik bagaimana ‘ruang-ruang cipta memberi kemungkinan untuk dicipta’ dari apa permasalahannya sesuatu objek. Perkara ini berkaitan kepada apa yang difahami sebagai ‘generic communicative’ yang diusulkan sebelum ini.
Saya ingin definisikan perkara tersebut sebagai interaksi atau jaringan komunikasi yang lahir antara ruang cipta dengan ruang objek yang berupaya melebarkan explorasi minda kepada suatu ‘extension the diversion of thought’ ….ia umpama mendirikan suatu ‘software’ yang mampu mengeyahkan ‘apa yang wujud itu sebenanya dari benda yang tiada kepada perkara-perkara yang jarang diduga sebagai sesuatu yang ada’, maka software ini akan membantu membentuk sifat ‘generic’ untuk mengisi ‘ruang-ruang kemungkinan dari benda yang tiada kepada ada…atau sebaliknya…’

Justeru, pengamatan dan pengalaman fikiran kepada soalan asas ‘sifat wujud’ merupakan nadi kepada apakah kemungkinan ruang yang sepatutnya di isi. Mungkin merupakan suatu fenomena mengenai apakah pengalaman pencipta tentang apa yang dialami serta bagaimana ruang yang ada dapat dicoraknya sebagai suatu ‘extension of diversion’. Perkara ini mungkin akan menimbulkan kodifikasi dan bahasa secara ‘subconscious’ kepada tindakan dan refleksi yang akan dikonfrantasikan. Namun perlu dinyatakan perbincangan atas sifat konfrantasi bukan untuk bermaksud ‘demoralization oh thought’ tetapi konfrantasi dalam menemukan potensi yang ada sebagai proses wacana yang bersifat ‘generic’.
Kontradiksi yang wujud bukan bersifat pertentangan, tetapi kontradiksi ‘diversion’ di mana ia akan mewujudkan cadangan perubahan dan jelmaan fenomena disiplin akal secara interaktif. Jadi tugasnya, bagaimana mengisi ruang-ruang potensi itu untuk diwujudkan sebagai suatu proses cipta. Perkara ini sering menimbulkan persoalan dan sentiasa bermain di minda, terutama kepada soalan kenapa kita mencipta?, Adakah ciptaan yang dihasilkan hanya ingin memberitahu apa yang sudah di ketahui atau apakah ruang ‘extension’ yang sepatutnya terjadi dari benda yang belum diketahui lagi.

Saya berpandangan kedua ‘proposition’ ini patut difikirkan, kerana antara kedua persoalan tersebut terdapat suatu ‘ruang idea’ yang saya katakan sebagai ‘the gap’. ‘The gap’ iaitu ruang cipta yang bertindak sebagai ruang makna yang baru antara yang nyata dan apa yang didalam minda. Jika sekiranya masih ingin memberitahu apa yang sudah diketahui, maka apakah istimewanya ‘cerita’ yang ada, terutama dari apa yang telah diciptakan untuk dinyatakan sebagai suatu penemuan. “The Gap’ merupakan cadangan pilihan kepada penciptaan ruang cipta. Terutama dalam merancang sesuatu yang belum diduga. Ia sebagai suatu pengisian antara apa yang difahami atau diketahui dengan apa yang belum lagi diketahui. Ia mungkin sebagai suatu spekulatif antara ‘real’ dengan ‘unreal’ atas suasana untuk mengerak sifat ‘diversion’.

Wujudnya objek bukan bertujuan menceritakan gambaran objek, tetapi apakah perkara ‘objek’ itu difahami dan mampu untuk dianalisis. Bermakna bagaimana objek menjadi suatu ‘dematerialization’, yang bertujuan melihat sesuatu yang ‘absent’ sebagai intiti. Intiti kepada yang ‘absent’ menawarkan untuk mencari sesuatu yang ‘kelainan’, supaya perkara yang ‘present’ sekadar suatu manifestasi kesedaran tentang apa yang wujud. Namun yang ‘absent’ bertindak dalam menyumbangkan informasi disebalik nilai intrinsik akal yang ada dengan perkara yang ‘present’. Manakala yang ‘present’ bukan sekadar ‘the material’ tetapi sebagai sebuah objek ‘of consciouness’.
Contohnya apabila perkataan ‘kolam’ diertikan sebagai suatu tempat menakung air, maka pengertian tersebut dapat diertikan juga umpama sup dalam sebuah mangkuk, kerana sifatnya adalah sama-sama menakung. Sup menakung dalam mangkuk dan air menakung dalam kolam. Namun agak pelik apabila dikatakan sup menakung dalam mangkuk, berbeza dengan sifat kolam yang menakung dalam air. Namun yang pelik itu berpotensi sebagai suatu ruang cipta dari ‘unconscious’ kepada ‘conscious’. Jadi ‘the other thoughts of intrinsic value’ hasil dari yang ‘present’ boleh memberi pertalian kepada makna objek dalam mengisi ‘the gap of absent’. Hasratnya ia suatu signifikan anjakan dari apa yang dilihat, kerana sikap penghayat tidak lagi akan bersifat sama dengan apa yang dilihatnya, malah ia berkonfrantasi dengan apa yang dilihatnya. Sebagai suatu pengalaman yang belum lagi diketahuinya, melainkan pemikirannya masih dalam posisi ‘suka lagi kepada adegan naratif yang berpaksikan jawapan’.

Maka sudah tentu ia cuma berhadapan dengan adengan naratif yang menjelaskan tentang gambar. Cerita-cerita gambar inilah yang didagangkan sebagai sebuah konsep yang sering dianggap pembinaan intelektual. Perkara tersebut membuatkan produk seni bersifat layu dan sering ‘tersangka-sangka’ mengapa seni tidak berubah atau kata lain ‘nampak boring’. ‘Nampak boring’ kerana benda yang dilihat menawarkan berita-berita yang sama dari masa kesemasa dalam komposisi yang berbeda dalam pandangan yang telah diketahui. Komposisi yang berbeda boleh dianalogikan sebagai pembaca berita yang membaca berita di saluran yang berbeza tapi beritanya tetap sama. Jadi dalam konteks seni kontemporari, karya bukan lagi bersifat sebagai penyampai berita, atau sekadar justifikasi mengenai proses kreatif membuat produk, tetapi ia menjurus bagaimanakah produknya sebagai interaksi komunikatif atau bagaimana kemungkinan ‘audience’ mengalami suatu nilai pengalaman dari apa yang dicipta dalam menghasilkan ‘interaksi makna’.

Oleh itu, pengalaman estetika bukan sekadar berhadapan produk yang dicipta sebagai sesuatu yang dilihat cantik, tetapi pengalaman tentang nilai bagaimana analisis persepsi mampu menjangkau ruang objek kepada sesuatu yang ingin dicipta. Hasrat kepada penciptaan boleh terjadi apabila kesedaran tentang ruang objek boleh dibentuk dari pengalaman yang bukan sekadar ‘empirical’ tetapi ia terbentuk dari ‘the production of proposition’ atau ‘the inquiry’. Pertanyaan mengenai fungsi bentuk dan ruang bertujuan membina suatu permasalahan kenyataan dalam hasrat menyelami bentuk objek kepada suatu ‘extension’ serta membentuk struktur perencanaan karya. Ia bermakna pencipta telah digerakkan oleh aliran akal (something triggered) dari fenomena persepsi (interface) kepada 'sesuatu' sebagai suatu refleksi. Di sini pencipta berkonfrantasi atau berdialog antara perkara sedia ada dengan apakah perkara yang ingin di syorkan. This reflexive practice is meta-analytic in focus and reveals the plurality of new views, - Graeme Sullivan (2005. Art Practice as Research)

Namun mengikut pengalaman seni visual di Malaysia, kebanyakan pengkarya mengambil objek sebagai tanda kepada bahan cerita. Dengan kata lain data imej diambil sebagai metaphor untuk membentuk sebuah naratif. Ia bukan dilihat sebagai suatu fenomena visual yang membentuk sebuah ‘pertanyaan’ sebagai sistem visual. Ia seolah merakam kembali apa yang dilhat dan hanya diolah sebagai suatu komposisi imej dan diatur mengikut ruang yang ada. Pengkarya hanya terpesona tentang gaya imej yang dianggap idea tanpa sebarang kontekstualnya. Erti lain ia hanya mengambil kembali apa yang dilihat dan dipersembahkan semula sebagai konsep karya.
Pengkarya sepatutnya melihat objek sebagai data assumsi untuk ‘mensyorkan apa yang dilihat’. Aspek pengusulan ini merupakan sesuatu yang dinanti-nanti dan apakah assumsi pengkarya dari apa yang diilusikan boleh memberi potensi kepada pengalaman estetik baru. Konsep penggunaan semula objek/imej perlu dirungkai kepada beberapa syor yang bukan sekadar merakam kembali atas peristiwa lama, tetapi penggunaan yang ditapis supaya apa yang diguna bertukar rupa. Konsep ‘penggunaan’ yang dimaksudkan adalah suatu aktiviti rakaman minda untuk diusulkan sebagai objek yang lahir dari penghayatan untuk dijadikan usulan dalam merubah apa yang di guna. Keupayaan berubah inilah seharusnya dilihat di luar kotak kefahaman objek, di mana apakah sebenarnya benda yang pengkarya cipta. Seperti kisah air yang menakung atau sepinggan sup yang bertakung.