Thursday, March 3, 2011

ulasan forum BMS2010

seperti biasa pameran bakat muda sezaman bagi tahun 2010 telah berlangsung dengan jayanya serta telah sempurnalah tugas masing-masing. Yang menang pasti menerima hadiah kerana ia berbentuk pertandingan dan ada hadiah. namun agak pelik bahawa dari hasil bicara seni atau forum dan mungkin juga postmortem yang dilakukan baru-baru ini kebanyakannya menyuarakan rasa tak puas hati serta mempertikaikan apakah pendirian dan hala tuju BMS atau kata lain 'bukan menang saja.'. tapi apakah kesannya kemenangan tersebut. dapat juga diperhatikan para pemenang juga terkeliru dengan apa yang dia menang. seolah mereka tak yakin tentang apa yang mereka lakukan serta seolah tak bersedia atas kemenangan tersebut. ini suatu yang menyeronokan.

secara lalu boleh dikatakan kehebatan pemenang seolah tak berapa hebat dan saya yakin mereka cuma masuk-masuk untuk cuba mendapatkan hadiah dari hasil undian kawan-kawan. kerana tahun 2010 formatnya mengikut undi. namun dari reaksi panel dan penuntun rata-rata agak gusar tentang apa yang berlaku, kerana pendirian pun tak terjawab dan halatuju pun nampak kabur. nampak gaya nya seolah pameran ini tak memberi apa faedah. walaupun sesetengah mengatakan ia masih penting. pentiing tu saya rasa kerana mungkin mereka beranggapan mereka ada 'chance' untuk cuba menang lagi bagi tahun-tahun mendatangnya.

tapi dari forum tersebut ada yang mengatakan tiada excitement, kurang impact factor, artis kurang baca, ada kata tak baca sejarah, tak relevan lagi dan sebagainya. oleh itu saya cadangkan pihak tertentu agar tamatkan lah riwayatnya dan bina episod baru. penilaian ini penting dilakukan demi melihat seni tanah malaya ini lebih makmor dan memberi keuntungan yang berlipat ganda demi membina kekayaan budaya negara tercinta ini. amin

Wednesday, March 2, 2011

Sunday, February 6, 2011

Ruang, Subjektiviti dan Evolusi Pengkaryaan

Nasir Baharuddin

Pada saat ini, lapangan kesenian mengorak beberapa ruang jaringan yang bukan berpusat tetapi bergerak dalam ruang cipta yang menembusi pelbagai arah. Ertinya seni berlaku dari keberhasilan konteksnya samada secara antroposentrik atau diaspora pemikiran secara mengalir. Pengerak seni mulai membuka tirai jaringan cipta kepada beberapa olahan yang bukan lagi statik malah ia mulai mengacau sifat penciptaan kepada bahasa jaringan yang bukan terduga. Sifat ‘subconscious’ yang bukan dirancang ini, menjadikan sebuah kenyataan permasalahan bahasa dan bentuk yang mungkin menarik untuk dilihat dan dibina. Hasil seni bukan lagi ditinjau dari ‘estatika’ yang bersifat ‘sesuatu yang indah’ tetapi ia mulai berpaling untuk menduga bagaimana ruang cipta dijalin sebagai aturan bahasa dan persoalan asas kepada bahasa tersebut sebagai pembinaan objek baru.
Oleh itu, penciptaan terletak kepada aturan bahasa objek, di mana objek adalah ungkapan untuk memberi petanda kepada wujudnya nilai pengetahuan yang mungkin dikatakan ‘sesuatu yang indah, menarik dan teruja’. Nilai pengetahuan dalam perencanaan bahasa objek menjadi penilaian bagaimana aturan estetika diusul dalam membentuk rasa keindahan kerana sifat objek bukan lagi direka atas rancangan menyusun atau melorek gambar tapi kefahaman apa itu dikatakan gambar.

Gambar berperanan sebagai agen, oleh itu apa yang perlu dilakukan adalah melihat apakah subjek yang sepatutnya ada dari agen tersebut.

Jaringan-jaringan bahasa yang dirungkai membina kepada peta-peta komunikatif dari refleksi pencipta mengenai hasrat akan fikirannya untuk mencipta. Perencanaan kepada mencipta bukan sekadar proses gerak dari objek ‘a’ kepada ‘b’ malah berteras daripada ‘generic communicative’ dari apakah rencana bahasa sebagai aturan visualnya. Rencana bahasa mulai difahami sebagai suatu kefahaman membuat gambar melalui peta akal untuk melakar apa yang dilihat dan dibaca. Oleh itu bahasa persepsi bukan lagi dikongkong oleh cantiknya gambar yang dibuat tetapi ‘kecantikan’ itu dibina dari ruang cipta yang dibina oleh bahasa akal dalam menyusun bagaimana setiap ‘possibility’ objek dilihat daripada pengetahuan yang ada.

Sifat objek sememangnya agak sukar untuk ditutur atau juga difahami. Namun kesukaran tersebut dapat diinterpretasi jika objek cipta membuka ruang untuk diterokai dan ingin bertarung dalam mencari dan membuka pilihan-pilihan dalam memperlebarkan jaringan. Sifat objek berlegar bukan sekadar mainan persepsi yang bertindak sekadar ‘kata rasa’ tetapi telah mulai menjelajah kepada suatu ruang cipta daerah pemikiran dan iklim budaya bahasa yang wujud, terutamanya dari data pengalaman dan pengetahuan. Objek sekadar mainan-mainan ilusi yang bersifat kabur, ia hanya rangsangan untuk mata kepada perencanaan akal dalam menyatakan posisi apakah pengetahuannya yang dapat diterima akal.
Ia bukan lagi ‘naratif objek’ yang direncanakan sebagai konsep, bermaksud pencipta sering menganggap ‘konsep yang difahami terbina dari sumber naratif’, maka tidak hairan pencipta bertindak ‘memberi kepada suatu jawapan mengenai ‘apa’ yang dibina, dengan kata lain, bersifat illustratif. Ia perlu bertindak kepada ‘apa ruang’ yang sepatutnya diisi. Pengisian ruang inilah yang perlu direnungi terutama apakah potensi yang ada dalam membina cadangan peta minda sebagai suara kenyataan dan bukan kepada pemberi jawapan…yang sering difahami sebagai ‘konsep’.

Konsep naratif sepatutnya bertindak sebagai bahan kepada ‘generic communicative’ untuk meninjau apakah peluang-peluang baru yang mungkin boleh digerakkan. Ini lebih kepada menemukan apakah kemungkinan yang difikirkan, lantas dapat menjangkau kepada proses ruang dialetikal secara konstruktif. Peta minda pencipta sudah sepatutnya mulai beralih kepada persoalan kenapa ianya begitu? Atau mengapa ia menjadi begitu? Sebagai suatu kenyataan sifat kewujudan dan signifikannya. Bukan lagi sekadar bertindak ‘untuk memberi tahu’ atau dengan kata lain, pencipta sebagai ‘penyampai berita akan wujudnya objek’, tetapi ‘sifat naratifnya sesuatu kenyataan’ adalah lebih baik bagaimana ‘ruang-ruang cipta memberi kemungkinan untuk dicipta’ dari apa permasalahannya sesuatu objek. Perkara ini berkaitan kepada apa yang difahami sebagai ‘generic communicative’ yang diusulkan sebelum ini.
Saya ingin definisikan perkara tersebut sebagai interaksi atau jaringan komunikasi yang lahir antara ruang cipta dengan ruang objek yang berupaya melebarkan explorasi minda kepada suatu ‘extension the diversion of thought’ ….ia umpama mendirikan suatu ‘software’ yang mampu mengeyahkan ‘apa yang wujud itu sebenanya dari benda yang tiada kepada perkara-perkara yang jarang diduga sebagai sesuatu yang ada’, maka software ini akan membantu membentuk sifat ‘generic’ untuk mengisi ‘ruang-ruang kemungkinan dari benda yang tiada kepada ada…atau sebaliknya…’

Justeru, pengamatan dan pengalaman fikiran kepada soalan asas ‘sifat wujud’ merupakan nadi kepada apakah kemungkinan ruang yang sepatutnya di isi. Mungkin merupakan suatu fenomena mengenai apakah pengalaman pencipta tentang apa yang dialami serta bagaimana ruang yang ada dapat dicoraknya sebagai suatu ‘extension of diversion’. Perkara ini mungkin akan menimbulkan kodifikasi dan bahasa secara ‘subconscious’ kepada tindakan dan refleksi yang akan dikonfrantasikan. Namun perlu dinyatakan perbincangan atas sifat konfrantasi bukan untuk bermaksud ‘demoralization oh thought’ tetapi konfrantasi dalam menemukan potensi yang ada sebagai proses wacana yang bersifat ‘generic’.
Kontradiksi yang wujud bukan bersifat pertentangan, tetapi kontradiksi ‘diversion’ di mana ia akan mewujudkan cadangan perubahan dan jelmaan fenomena disiplin akal secara interaktif. Jadi tugasnya, bagaimana mengisi ruang-ruang potensi itu untuk diwujudkan sebagai suatu proses cipta. Perkara ini sering menimbulkan persoalan dan sentiasa bermain di minda, terutama kepada soalan kenapa kita mencipta?, Adakah ciptaan yang dihasilkan hanya ingin memberitahu apa yang sudah di ketahui atau apakah ruang ‘extension’ yang sepatutnya terjadi dari benda yang belum diketahui lagi.

Saya berpandangan kedua ‘proposition’ ini patut difikirkan, kerana antara kedua persoalan tersebut terdapat suatu ‘ruang idea’ yang saya katakan sebagai ‘the gap’. ‘The gap’ iaitu ruang cipta yang bertindak sebagai ruang makna yang baru antara yang nyata dan apa yang didalam minda. Jika sekiranya masih ingin memberitahu apa yang sudah diketahui, maka apakah istimewanya ‘cerita’ yang ada, terutama dari apa yang telah diciptakan untuk dinyatakan sebagai suatu penemuan. “The Gap’ merupakan cadangan pilihan kepada penciptaan ruang cipta. Terutama dalam merancang sesuatu yang belum diduga. Ia sebagai suatu pengisian antara apa yang difahami atau diketahui dengan apa yang belum lagi diketahui. Ia mungkin sebagai suatu spekulatif antara ‘real’ dengan ‘unreal’ atas suasana untuk mengerak sifat ‘diversion’.

Wujudnya objek bukan bertujuan menceritakan gambaran objek, tetapi apakah perkara ‘objek’ itu difahami dan mampu untuk dianalisis. Bermakna bagaimana objek menjadi suatu ‘dematerialization’, yang bertujuan melihat sesuatu yang ‘absent’ sebagai intiti. Intiti kepada yang ‘absent’ menawarkan untuk mencari sesuatu yang ‘kelainan’, supaya perkara yang ‘present’ sekadar suatu manifestasi kesedaran tentang apa yang wujud. Namun yang ‘absent’ bertindak dalam menyumbangkan informasi disebalik nilai intrinsik akal yang ada dengan perkara yang ‘present’. Manakala yang ‘present’ bukan sekadar ‘the material’ tetapi sebagai sebuah objek ‘of consciouness’.
Contohnya apabila perkataan ‘kolam’ diertikan sebagai suatu tempat menakung air, maka pengertian tersebut dapat diertikan juga umpama sup dalam sebuah mangkuk, kerana sifatnya adalah sama-sama menakung. Sup menakung dalam mangkuk dan air menakung dalam kolam. Namun agak pelik apabila dikatakan sup menakung dalam mangkuk, berbeza dengan sifat kolam yang menakung dalam air. Namun yang pelik itu berpotensi sebagai suatu ruang cipta dari ‘unconscious’ kepada ‘conscious’. Jadi ‘the other thoughts of intrinsic value’ hasil dari yang ‘present’ boleh memberi pertalian kepada makna objek dalam mengisi ‘the gap of absent’. Hasratnya ia suatu signifikan anjakan dari apa yang dilihat, kerana sikap penghayat tidak lagi akan bersifat sama dengan apa yang dilihatnya, malah ia berkonfrantasi dengan apa yang dilihatnya. Sebagai suatu pengalaman yang belum lagi diketahuinya, melainkan pemikirannya masih dalam posisi ‘suka lagi kepada adegan naratif yang berpaksikan jawapan’.

Maka sudah tentu ia cuma berhadapan dengan adengan naratif yang menjelaskan tentang gambar. Cerita-cerita gambar inilah yang didagangkan sebagai sebuah konsep yang sering dianggap pembinaan intelektual. Perkara tersebut membuatkan produk seni bersifat layu dan sering ‘tersangka-sangka’ mengapa seni tidak berubah atau kata lain ‘nampak boring’. ‘Nampak boring’ kerana benda yang dilihat menawarkan berita-berita yang sama dari masa kesemasa dalam komposisi yang berbeda dalam pandangan yang telah diketahui. Komposisi yang berbeda boleh dianalogikan sebagai pembaca berita yang membaca berita di saluran yang berbeza tapi beritanya tetap sama. Jadi dalam konteks seni kontemporari, karya bukan lagi bersifat sebagai penyampai berita, atau sekadar justifikasi mengenai proses kreatif membuat produk, tetapi ia menjurus bagaimanakah produknya sebagai interaksi komunikatif atau bagaimana kemungkinan ‘audience’ mengalami suatu nilai pengalaman dari apa yang dicipta dalam menghasilkan ‘interaksi makna’.

Oleh itu, pengalaman estetika bukan sekadar berhadapan produk yang dicipta sebagai sesuatu yang dilihat cantik, tetapi pengalaman tentang nilai bagaimana analisis persepsi mampu menjangkau ruang objek kepada sesuatu yang ingin dicipta. Hasrat kepada penciptaan boleh terjadi apabila kesedaran tentang ruang objek boleh dibentuk dari pengalaman yang bukan sekadar ‘empirical’ tetapi ia terbentuk dari ‘the production of proposition’ atau ‘the inquiry’. Pertanyaan mengenai fungsi bentuk dan ruang bertujuan membina suatu permasalahan kenyataan dalam hasrat menyelami bentuk objek kepada suatu ‘extension’ serta membentuk struktur perencanaan karya. Ia bermakna pencipta telah digerakkan oleh aliran akal (something triggered) dari fenomena persepsi (interface) kepada 'sesuatu' sebagai suatu refleksi. Di sini pencipta berkonfrantasi atau berdialog antara perkara sedia ada dengan apakah perkara yang ingin di syorkan. This reflexive practice is meta-analytic in focus and reveals the plurality of new views, - Graeme Sullivan (2005. Art Practice as Research)

Namun mengikut pengalaman seni visual di Malaysia, kebanyakan pengkarya mengambil objek sebagai tanda kepada bahan cerita. Dengan kata lain data imej diambil sebagai metaphor untuk membentuk sebuah naratif. Ia bukan dilihat sebagai suatu fenomena visual yang membentuk sebuah ‘pertanyaan’ sebagai sistem visual. Ia seolah merakam kembali apa yang dilhat dan hanya diolah sebagai suatu komposisi imej dan diatur mengikut ruang yang ada. Pengkarya hanya terpesona tentang gaya imej yang dianggap idea tanpa sebarang kontekstualnya. Erti lain ia hanya mengambil kembali apa yang dilihat dan dipersembahkan semula sebagai konsep karya.
Pengkarya sepatutnya melihat objek sebagai data assumsi untuk ‘mensyorkan apa yang dilihat’. Aspek pengusulan ini merupakan sesuatu yang dinanti-nanti dan apakah assumsi pengkarya dari apa yang diilusikan boleh memberi potensi kepada pengalaman estetik baru. Konsep penggunaan semula objek/imej perlu dirungkai kepada beberapa syor yang bukan sekadar merakam kembali atas peristiwa lama, tetapi penggunaan yang ditapis supaya apa yang diguna bertukar rupa. Konsep ‘penggunaan’ yang dimaksudkan adalah suatu aktiviti rakaman minda untuk diusulkan sebagai objek yang lahir dari penghayatan untuk dijadikan usulan dalam merubah apa yang di guna. Keupayaan berubah inilah seharusnya dilihat di luar kotak kefahaman objek, di mana apakah sebenarnya benda yang pengkarya cipta. Seperti kisah air yang menakung atau sepinggan sup yang bertakung.

Monday, September 27, 2010

NegaraKU By Zulkifli Bin Yusuf

negaraku sebuah pameran hasil usaha zulkifli yusuf di Balai Senilukis Negara.






























Saturday, August 28, 2010

studio visit to Matahati Artists - Hamir Soib and Ahmad Shukri.

Studio Ahmad Shukri Puncak Alam












































hamir Soib Studio, Paya Jaras Sg Buluh.













































Monday, July 12, 2010

IMBASAN Lapuran JURI Bakat MUda Sezaman 2006

















Telah menjadi kelaziman, apabila berlaku pertandingan bakat muda sezaman, perkara utama yang menjadi perhatian adalah ‘siapa yang akan menang’, terutama sekali ‘siapa yang akan menjadi pemenang hadiah utamanya’. Namun, bagi pertandingan tahun 2006, ‘hadiah utamanya’ tiada siapa yang beroleh kemenangan. Kesannya, banyak pihak yang tidak merasa puas hati, tertanya-tanya dan malah ada yang kecewa, kerana hadiah tersebut sepatutnya ‘ada pemenangnya’. Tetapi sebaliknya para juri memberi hadiah khas iaitu ‘hadiah juri’ kepada lapan orang peserta serta dua ‘hadiah bina’. Hadiah-hadiah tersebut sekadar untuk memberi perangsang untuk menimbulkan suatu kesedaran dan berharap agar pelukis yang dipilih dapat membina sesuatu untuk kemajuan senilukis Malaysia itu sendiri. Sikap sebegini yang perlu disedari oleh pelukis agar mereka tidak menganggap bahawa pertandingan ini hanya sekadar ‘pertandingan’ untuk mengaut keuntungan semata, tetapi ia sebagai petanda kepada maju mundurnya pembangunan senilukis Malaysia.

Ingin ditegaskan bahawa pertandingan bakat muda bukan sekadar untuk membentuk status individu, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana seseorang pelukis itu dapat mencadangkan sesuatu yang lebih bermakna dalam membentuk perubahan senilukis Malaysia itu. Adalah amat malang jika seseorang beranggapan bahawa pertandingan bakat muda hanya sekadar untuk mencari ‘pemenang’ atau mengejar hadiah untuk dimenangi, tetapi dari segi perkembangannya berada dalam situasi yang lama. Para juri ingin melihat kepada suatu perubahan daripada pameran pertandingan yang terdahulu. Yang mana bukan hanya untuk melihat hanya kepada ‘style’ atau rupabentuk baru, tetapi kepada suatu perubahan pemikiran serta proses intelek dalam melonjakkan ‘perkara’ yang lama kepada yang baru. Ini merupakan perkara utama yang dititik beratkan. Ia bukan menang atas gaya dan populariti pelukis atau beberapa kali kerap seseorang itu membuat pameran tetapi, ia dilihat atas inovasi dan perancangannya sebagai seorang pelukis kepada masa hadapan.

Oleh hal yang sedemikian, para juri telah bersepakat pertandingan tahun 2006 tidak mempunyai ‘impact factor’ yang mendokong kepada persoalan inovasi serta perancangan kepada kemajuan senilukis dan pertandingan bakat muda itu sendiri. Ia sekadar suatu pameran senilukis yang lazimnya berlaku dalam mana-mana pameran yang berada sekarang. Tahap pemikiran pelukis yang menyertianya masih berada dalam kefahaman atas status gubahan fikiran formalistik. Dimana suasananya agak pasif tanpa penerokaan dan kajian yang memungkinkan kepada cadangan–cadangan yang baru. Soal pemikiran dan kajian terhadap intipati makna kurang diberi perhatian. Disamping para juri juga tidak dapat melihat suatu lonjakan kepada perubahan penerokaan walaupun pada persoalan ‘medium’nya.

Telah menjadi harapan negara serta peranan balai senilukis negara untuk melihat suatu kemajuan dan fungsi senilukis agar berada kepada tahap yang lebih mencabar dan bersifat global. Dalam proses ini, tanggung jawab pelukis dan institusi seni begitu besar dan perancangan perlu diolah dengan rapi. Pelukis muda malaysia harus mampu dalam mengeluarkan pandangan serta berupaya mencadangkan sesuatu yang lebih menarik bukan saja dari segi pengolahan teknik, malah berupaya membawa suatu perubahan pemikiran samada dari segi mediumnya, bahasanya dan seterusnya dari segi konteks suasana senilukis itu sendiri. Pelukis muda malaysia harus lebih berani atas kesempatan yang ada untuk menerokai peluang-peluang yang lebih mencabar dalam waktu kini, untuk menghasilkan karya yang lebih penting, bukan sekadar untuk melihat atas kepentingan komersial yang hanya memberi santapan pada golongan elitis dan berada saja. Tetapi yang lebih penting adalah dimana para pelukis dapat membina suatu kedudukan seni di malaysia yang lebih dinamik terutama terhadap persekitarannya. Oleh itu, pelukis malaysia perlu membuat kajian dan perencanaan yang lebih mendalam dalam setiap perancangan pengkaryaannya supaya ia dapat merubah suasana senilukis kini kepada perkara yang lebih mencabar dan bermakna.

Dalam hal ini, pihak juri merasakan perkataan ‘pertandingan’ tidak perlu digunakan lagi, kerana ia tidak bersesuaian pada konteks semasa dan harus digantikan kepada suatu penganugerahan yang lebih merangsang kepada proses intelek, komunikasi dan isu terkini. Penganugerahan itu mungkin bersifat ‘grant’ atau ‘research award’ yang mana pelukis yang berjaya perlu menunjukan sesuatu yang penting dari hasil penyelidikan atau dokumentasinya, supaya ia dapat dimenafaatkan oleh pihak balai senilukis negara serta masyarakat umum. Perkara ini dibangkitkan supaya para pelukis yang menyertai pertandingan ini pada masa akan datang tidak lagi mempunyai suatu persepsi yang mudah dan hanya bertujuan untuk ‘menang’. Para pelukis harus sedar bahawa ‘pertandingan’ ini bukan sekadar untuk mencuba nasib atau untuk berseronok berkarya tetapi mereka harus lihat ada perkara yang lebih penting untuk perhatikan.

Maka tidak heran, daripada kajian pihak juri melalui ulasan-ulasan para juri terdahulu melalui katalog pertandingan bakat muda, rata-rata mengatakan bahawa kualiti pertandingan tersebut begitu mengecewakan dari semasa kesemasa samada secara terus terang atau berkiasan. Lanjutan dari kajian tersebut, para juri kali ini bersepakat bahawa, jikalau perkara yang sedemikan tidak menampakkan perubahan dan menafaatnya, maka eloklah pertandingan bakat muda sezaman dimansuhkan. Atau dalam ertikata lain ditukar konsep pertandingan tersebut sebagaimana apa yang telah dinyatakan seperti di atas. Pihak balai senilukis negara harus memikirkan secara mendalam dan lebih ‘serious’ kepada suatu formula atau format baru untuk menilai ‘pertandingan’ atau penganugerahan ini pada masa akan datang.

Pihak balai senilukis Negara perlu mempunyai objektif yang jelas serta kearah mana hasilnya pertandingan tersebut untuk dibentuk. Balai senilukis negara perlu membuat perancangan semula akan penganugerahan ini, dengan mengambil kira faktor semasa serta kedudukan senilukis malaysia itu sendiri. Tidak dinafikan pihak juri berpendapat bahawa ‘petandingan bakat muda sezaman’ adalah suatu platform yang amat penting bagi melihat arah tuju senilukis malaysia untuk bergerak dengan perkembangan yang ada. Namun usaha ini perlulah dilakukan mengikut kepada perubahan senilukis itu sendiri samada dari perspektif tempatan atau dari ruang lingkup antarabangsa. Oleh yang demikian perkara tersebut bukan sahaja terletak kepada peranan balaisenilukis negara sahaja, ia juga bergantung kepada institusi-institusi pengajian seni untuk bersama membentuk suatu perancangan yang lebih dinamik serta mempunyai mekanisma tertentu kearah pencapaian dan mertabat senilukis Malaysia itu sendiri.

Mohd Nasir Baharuddin.
Selaku Ketua Pengadil

Wednesday, July 7, 2010