Kebebasan Berekspresi Dalam Seni Tampak
Mohd Nasir Baharuddin
‘Seni itu bebas, bebas berekspressi’- Kenyataan ini sering didengar apabila dikaitkan dengan pelukis. Bagi pelukis kebebasan berekspressi merupakan sesuatu yang istimewa dan dianggap penting bagi melakukan pekerjaan seni. Namun kegusarannya adakah kebebasan berekspressi itu sebagai sesuatu yang benar-benar bebas dan apakah istimewanya pelukis merasakan dirinya bebas. Konotasi kebebasan memberi pelbagai reaksi yang kebanyakannya disalah ertikan. Adakah kebebasan ekspressi yang dianggap itu mahu menjelaskan bahawa pelukis bebas melakukan apa saja atau pelukis terasa bahawa dirinya bebas melakukan kerja seni pada bila-bila masa. Kata lainnya tidak mengikut masa yang tertentu. Atau merasakan dirinya tidak terikat oleh sesuatu keadaan dan tempat. Atau pelukis boleh bebas berekspressi pada karyanya dengan cara apa sekalipun.
Walau bagaimana tanggapan yang ada, kalau diperhatikan secara mendalam ‘kebebasan ekspressi’ dalam berkarya merupakan suatu pengertian yang agak mengelirukan. Keliru atas kefahaman apakah kebebasan ekspressi pelukis apabila dia melukis, kerana apabila pelukis berhadapan dengan sesuatu karya yang ingin dihasilkannya, perkara ekspressi(emosi) yang dinyatakan akan bersifat terkawal. Terkawal oleh kerana pelukis akan berhadapan dengan suatu kerangka(format) yang perlu dirancangkan. Apabila dikatakan sebagai sesuatu yang akan dirancangkan, sudah tentu aktivitinya perlu disusun. Dalam menyusun aktiviti ini, pemerhatian dan kefahaman akan bertindak secara sedar. Kesedaran yang ada, sudah tentu akan mengawal segala gerak geri perbuatan berkarya dan mengawal pemikiran dalam membentuk perancangan tentang apa yang ingin di hasilkan.

Jadi dimanakah kebebasan ekspressi itu? Lebih lagi apabila kita membuat catan contohnya, Dari awal kepada hasrat untuk membentuk catan, pelukis telah berhadapan dengan suatu sistem, mengenai bentuk dan media. Pemilihan bentuk dan penggunaan media berdasarkan daripada apakah ide, pengalaman dan perasaan yang telah dilalui oleh seseorang pelukis dalam disiplin mencatan. Oleh itu pengamatan dan persepsi yang khusus, falsafah, dan cara keinginan untuk merepresentasi atau permasalahan teknikal yang dihadapi perlu diolah dan dirancang mengikut signifikasi pengalaman. Dan aktiviti pembentukan karya pula sebagai satu cara dalam menerokai dan memahami bentuk pengalaman melalui apa yang dihasilkan. Daripada pengalaman yang dihasilkan itu aktivitinya bukan sesuatu yang dibuat mengikut sesuka hati atau disebut sebagai ‘bebas berekspressi’, tetapi mungkin boleh dipanggil sebagai bentuk ekspressi diri (self expression) dalam memperkatakan ide, contohnya walaupun catan itu hanya dilakar sekadar dengan satu bentuk garisan. Tetapi garisan yang digaris itu adalah merupakan aktiviti yang dirancang dengan skima yang tertentu, yang datang dari pengalaman. Pengalaman yang dijelmakan dihasilkan daripada cara diri pelukis berekspressi mengenai bentuk garisan, bukan ‘bebas berekspressi’.
Cara diri pelukis berekspressi (self expression) di sini bukan bermakna mengikut emosi tetapi menghasilkan bentuk karya mengikut konten tertentu. Ekspressinya adalah tentang interpretasi dan rupa yang dihasilkan melalui medium, supaya kerja akhirnya akan dikendalikan dengan kualiti ekspressi itu sendiri. Lantaran, hasilnya akan diarahkan kepada pandangan ekspressi(expressive view) dalam kontek pemilikan formal dalam karya tersebut(formal properties of the work itself- Susan Langer). Di mana setiap pergerakan cara ekspressi akan menghindarkan permasalahan tentang pencapaian kepada proses mental yang tersendiri, namun perkara ini boleh dilaksanakan pada keaslian motivasi teori ekspressi. Yang mana keaslian dan nilai motivasi karya itu ditempatkan pada imaginasi individu pelukis. Jadi, persoalan ‘diri’, tentang ‘ekspressi diri’ seolahnya telah hilang. Makna lainnya, ekspressi itu hanya terletak atau datangnya daripada sesuatu teori, bukan perlakuan tentang emosi diri.
Perlakuan emosi sifatnya kadang-kadang luar dari batasan kawalan. Bebas beremosi dan bebas berekspressi adalah dua perkara berbeza. Bebas beremosi selalunya berkait kepada perlakuan yang sukar dikawal, berbanding dengan bebas bereksprssi. Bebas berekspressi bermakna perlakuannya terletak kepada ‘cara’ pencapaian mengenai proses mental’, yang sifatnya lebih terkawal. Sifat mengenai proses yang terkawal inilah mungkin merupakan sifat keaslian ekspressi yang menceritakan tentang apa yang diekspressikan. Bukan sesuatu yang hanya sewenang-wenangnya dipanggil bebas dan buat mengikut sesuka hati(emosi). Seringkali didapati pelukis agak terkeliru pada perkara ini, maka hasilnya interpretasi bebas ini sering disalah gunakan. Implikasinya, watak pelukis sering dianggap sebagai hidup yang tidak terarah, dan pelukis pula berpandangan ‘hidup menjadi pelukis adalah sesuatu yang bebas’ bebas melakukan apa saja, dengan alasan ‘kononnya kreatif’. Tak bebas maka tak kreatif. Saya rasa refleksi pemikiran begini sesuatu yang agak silap. Dimana pada waktu perkembangan teknologi dan komunikasi kini, ‘trademark’ pelukis sebagai makhluk ‘insan seni yang bebas’, saya kira sudah tidak ‘valid’, kerana validiti pelukis itu bergantung pada sistem interaksi yang dihasilkannya melalui skima kajiannya tentang apa yang diinteraksikan. Kreativiti dan innovasi bukan dikaitkan dengan bebas, tetapi suatu kajian kepada penjanaan proses kognitif yang melibatkan pencapaian IQ yang tinggi, dan bagaimana ianya dapat menjadi satu saluran kepada asas pertumbuhan ide yang baru. Maka skima IQ inilah yang perlu dibentuk.
Di mana skima yang pelukis hadapi sudah tentu sesuatu yang agak komplek. Kompleksiti ini datangnya daripada naluri mengenai ekspressi itu sendiri. Ini disebabkan ekspressi yang dihasilkan memerlukan perencanaan ide yang rapi, terutama apabila ianya sebagai suatu hasil pembentukan ide seni. Apabila dikatakan ide seni, perkara utama perbincangan sudah tentu ianya agak saintifik. Dikatakan saintifik kerana perkara utama perbincangan seni, titik tolaknya adalah ide. Ini disebabkan apabila perbincangan awal dalam seni berlaku, perkara pokok yang diusulkan adalah, apakah ide yang pelukis ingin disampaikan? Apabila dikatakan ide, ini bermakna setiap benda yang dilakarkan perlu diambil kira. Walaupun ianya satu garisan yang telah diceritakan tadi. Kerana keputusan untuk meletak garisan itu adalah hasil daripada kesedaran atau kajian pelukis tentang ide yang dia ada. Oleh itu kajian idenya terletak pada, apa idenya tentang garisan? Keputusan pelukis dalam memperkatakan idenya tentang garisan, sudah tentu dating dari penyelidikannya tentang garisan dan apakah signifikannya? Kerana kepentingan dan bentuk garisan itu sudah tentu terlebih dahulu di uji kaji. Paling tidak suatu lakaran awal tentang bentuk garisan tersebut, yang mana hasil keputusannya barulah dinyatakan kepada bentuk akhir sebagai suatu karya.
Kesimpulannya, laungan bebas ekspressi pada pelukis perlu diamati kembali kerana istilah bebas ini akan membawa masalah kepada diri. Kerana ekspressi pelukis terletak pada proses karyanya. Proses karya inilah yang diamati oleh penuntun, dan penuntun berhak mempersoalkan mengikut ekspressinya tentang apa yang dilihat, yang mana pelukis sudah tentu tidak akan ada kebebasan dalam menginterpretasi ekspressinya dari apa yang dihasilkan, melainkan pelukis terikat kepada skima ekspressinya sendiri. Akhirnya yang sebenarnya bebas adalah karyanya sendiri, bukan pelukis.